Ahad, 9 April 2017

MPPJ juara



ARKIB : 18/01/2004
Oleh JOHARI SHAWAL
 PENYERANG MPPJ Selangor, Mohd. Nizaruddin Yusof (kiri) bersaing bola dengan pemain Negeri Sembilan, P. Sivanathan semasa perlawanan sumbangsih di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya semalam. MPPJ menang 4-2. - Gambar ASWAD YAHYA.

MPPJ SELANGOR mengekalkan status selaku kelab tersohor dalam kancah bola sepak tempatan apabila menjulang Piala Sultan Ahmad Shah selepas menundukkan Negeri Sembilan 4-2 dalam perlawanan sumbangsih di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya semalam.

Biarpun tanpa Juan Manuel Arostegui, barisan serangan skuad juara Piala Malaysia kendali jurulatih Dollah Salleh tetap menyengat dengan empat gol menerusi jaringan penyerang, Mohd. Nizaruddin Yusof; pemain pertahanan, Faizal Zainal; pemain import Bruno Sebastian Martelotto dan Aiman Firdaus Tan Abdullah.

Juara Piala FA, Negeri Sembilan bermain baik tetapi barisan serangan agak tumpul walaupun berjaya mengikat kedudukan babak pertama 2-2 menerusi jaringan K. Rajan dan Abdul Razak Mohamed Ekpoki pada penghujung babak kedua.

Berbekalkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri, MPPJ nyata tidak membuang masa untuk menceriakan kem pasukan, di hadapan kira-kira 20,000 penonton.

Sepakan sudut yang diperoleh pada minit kesembilan tidak dipersia-siakan. Pemain Selangor musim lepas, Nizaruddin melonjak awal untuk menanduk masuk gol pembukaan hasil sepakan sudut Azrin Shah Zainal menewaskan penjaga Negeri Sembilan, Cajetan Oparaugo.

Skuad Rusa yang terpaku dengan jaringan itu hampir menyamakan kedudukan seminit kemudian tetapi tandukan Abdul Razak melepasi palang gol.

Gol kedua MPPJ diperoleh dengan gaya serupa, kali ini menerusi tandukan Faizal yang terus menerjah jaring juga hasil sepakan sudut Azrin.

Ketika MPPJ kelihatan akan ke bilik persalinan dengan rasa selesa mendahului dua gol, Negeri Sembilan mengejutkan barisan pertahanan MPPJ dengan dua jaringan pantas ketika babak pertama berbaki dua minit.

Rajan membawa bola secara solo dari sebelah kanan dan apabila memasuki kotak penalti MPPJ, pemain kebangsaan itu melepaskan rembatan kencang yang menerjah jaring menewaskan penjaga gol MPPJ, Jamsari Sabian.

Gol itu hadir beberapa minit selepas ketua pasukan MPPJ, Khairil Zainal diusung keluar akibat kecederaan.

Ketiadaan Khairil dipergunakan sebaiknya oleh barisan penyerang Negeri Sembilan untuk memburu jaringan penyamaan yang diperoleh hanya seminit kemudian.

Rajanikandh mengambil sepakan percuma yang terus menuju kepada Jamsari tetapi penjaga gol itu gagal menangkap kemas bola yang memudahkan Abdul Razak menolak masuk gol kedua negeri sembilan untuk mengikat kedudukan 2-2.

Mungkin suntikan semangat Dollah lebih bertenaga daripada K. Devan semasa waktu rehat, MPPJ kembali mengganas pada babak kedua.

Bintang import dari Argentina, Martelotto bijak mencuri ruang untuk menyambar bola di depan gawang bagi gol ketiga MPPJ pada minit ke-49 selepas sepakan percuma Faizal ke dalam kotak penalti Negeri Sembilan gagal ditangkap kemas Oparaugo.

MPPJ terus melebarkan kedudukan dengan gol keempat pada minit ke-72. Gerakan satu dua Nizaruddin dengan Aiman menyaksikan Aiman mudah menolak masuk untuk mencipta malam gemilang buat MPPJ dengan kemenangan manis 4-2

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dkoBkIm9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Negeri Sembilan, MPPJ Selangor tentukan kehebatan - Sumbangsih pembuka tirai



ARKIB : 17/01/2004
Oleh JOHARI SHAWAL
 
PEMAIN Negeri Sembilan, Anuar Jusoh membuat sepakan ke arah pintu gol dengan diperhatikan rakan sepasukan semasa latihan, semalam. Negeri Sembilan akan menentang MPPJ dalam perlawanan Sumbangsih di Stadium MPPJ, Kelana Jaya, malam ini.

BOLA Sepak Liga Malaysia membuka tirai pertandingan musim 2004 dengan perlawanan tradisi merebut Piala Sultan Ahmad Shah dalam perlawanan Sumbangsih antara juara Piala Malaysia musim lalu, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) Selangor dengan juara Piala FA, Negeri Sembilan, malam ini.

Pertarungan di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya itu bakal mencetuskan satu lagi sejarah baru bola sepak negara apabila pasukan kelab, MPPJ dijangka menambah satu lagi koleksi piala pertandingan tempatan sesudah gemilang dengan trofi Piala Malaysia.

Begitupun, Negeri Sembilan turut mahu merangkul piala yang belum ada dalam kabinet mereka, sesudah cemerlang degan Piala FA musim lalu, selain berusaha menafikan kebangkitan kelab.

MPPJ yang dibimbing bekas pemain kebangsaan, Dollah Salleh harus menjadi pilihan di atas kertas tetapi berdasarkan persiapan dua pasukan itu, pilihan di atas padang adalah Negeri Sembilan.

``Pasukan pilihan adalah MPPJ, lagi pun mereka bermain di tempat sendiri. Kami hadir sebagai underdog tetapi kami menaruh keyakinan tinggi mampu mencatat kemenangan malam esok,'' kata jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan.

Negeri Sembilan mencatat peningkatan membanggakan dalam persiapan mereka mengharungi Liga Malaysia musim ini termasuk persediaan untuk perlawanan Sumbangsih.

Mereka muncul juara kejohanan empat pasukan di Kedah selepas menjadi naib juara dalam satu lagi kejohanan empat pasukan di Langkawi, awal bulan ini.

Selepas itu, mereka mengejutkan Terengganu dengan kemenangan 4-0, menewaskan Kuala Lumpur 4-1 dan mengatasi MK Land 5-2 dalam aksi persahabatan.

``Jika melihat kepada keputusan-keputusan itu, kami boleh menang dengan MPPJ tetapi kami harus bermain dengan tumpuan 100 peratus,'' katanya.

Menurut Devan, kemenangan besar ke atas pasukan-pasukan itu adalah atas kerja keras semua pemain selain suntikan semangat daripada tiga bintang import mereka dari Negeria iaitu dua penyerang, Duke Effiong dan Abdul Razak Mohammed Ekpoki serta penjaga gol, Cajetan Ndubuisi Oparaugo.

``Kami berharap tiga pemain itu selain pemain tempatan termasuk Khairul Anuar Baharom, B. Rajnikandh, Ching Hok Aik, Shahrin Majid dan Effendi Malek bermain baik malam esok,'' kata Devan.

Tiga pemain import dari Nigeria yang akan memperkuatkan cabaran pasukan dalam menghadapi saingan Liga Perdana musim ini ialah penjaga gol, Cajetan Ndubuisi Oparaugo, 26, dan dua penyerang - Duke Effiong, 27 dan Abdul Razak Mohammed Ekpoki, 26.

Negeri Sembilan mendapat khidmat pemain dari Sabah, Shahrin dan Hong Aik yang kembali ke skuad Rusa selepas bermain dengan Sarawak musim lalu.

Antara pemain lain dalam skuad Negeri Sembilan termasuk Anuar Jusoh, Suharmin Yusof, Mohd. Saiful Sabtu, Mohd. Suffian Abdul Rahman, Shahrizam Mohamad, Azrine Effendy Saduddin, Norhainizam Shahabudin, K. Rajan dan Norhafiz Zamani Misbah.

Devan menambah, kesempatan di atas kepincangan MPPJ yang kini tanpa bintang penyerang mereka dari Argentina, Juan Manuel Arostegui akan digunakan sebaik-baiknya.

``Barisan pertahanan kita bagaimanapun tidak akan mengambil mudah kerana mereka masih ada Bruno (Martelotto) dan (penyerang kebangsaan) Mohd. Nizaruddin Yusof,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dklfsLmT
© Utusan Melayu (M) B