Khamis, 8 Jun 2017

Selangor, Perak buka tirai



ARKIB : 03/12/2005

Oleh: AMRAN MULUP
JURULATIH Perak, Steve Darby (kiri) dan Hamidin Mohd. Amin, memegang Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. Selangor akan menentang Perak dalam perlawanan Sumbangsih malam ini.- Gambar MOHD. FARIZWAN HASBULLAH.

KUALA LUMPUR - Selangor berhajat besar untuk menjulang Piala Sultan Ahmad Shah bagi melengkapkan gelaran keempat bagi musim 2005.

Kemenangan yang dicari bukan sahaja untuk menambah koleksi kejuaraan malah lebih penting sebagai hadiah sempena hari keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Disember ini.

Berbekalkan barisan yang sama ketika mendakap Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Perdana bagi musim lepas, Selangor yakin dapat menewaskan Perak dalam saingan Piala Sumbangsih, perlawanan pembuka tirai musim 2005/2006 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Keyakinan Selangor tampak yakin apabila Perak yang turun beraksi tanpa enam pemain utama yang menggalas tugas mewakili skuad kebangsaan di temasya Sukan SEA di Manila.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Hamidin Mohd. Amin berkata, semangat juang pemain begitu tinggi untuk menewaskan Perak.

``Kita tetap anggap Perak sebagai pasukan yang perlu dihormati walaupun mereka kehilangan enam pemain utama,'' katanya dalam sidang akhbar di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, semalam.

Beliau menegaskan, amanat besar yang diberikan oleh pengurus pasukan, Datuk Satim Diman dan jurulatih, Dollah Salleh menjadi suntikan semangat kepada pemain.

Ujarnya, kehadiran Sultan Selangor bersama Presiden FAS, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo malam ini pastinya menambah lagi semangat juang pemain.

``Ikrar pemain ingin menewaskan Perak dan menghadiahkan kemenangan Piala Sultan Ahmad Shah kepada Sultan Selangor,'' katanya.

Berbekalkan siri lawatan Selangor selama dua minggu di Australia, Hamidin berkata, kesebelasan utama yang akan diturunkan berdepan dengan Perak sudah cukup bersedia.

Ujarnya, tidak banyak perubahan besar dilakukan oleh Dollah ke atas barisan utama melainkan ketiadaan penyerang berasal dari Argentina, Brian Fuentes yang ditimpa kecederaan.

``Selain itu, S. Sivaram juga turut diketepikan dalam skuad ini, selebihnya semua pemain seperti Bambang Pamungkas, Elie Aiboy dan ketua pasukan Muhammad Shukor Adan akan turut beraksi,'' ujarnya.

Sementara itu, ketua pasukan, Shukor Adan berkata, pemain memberi jaminan untuk beraksi cemerlang bagi memastikan Piala Sultan Ahmad Shah menjadi milik Selangor.

``Tempoh bersuka-ria meraikan kejayaan Selangor menjulang tiga piala sudah kami lupakan dan tumpuan kini yang lebih penting untuk kempen musim 2005/2006,'' ujarnya.

Beliau yakin pemain akan dapat bermain cemerlang untuk menewaskan Perak.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jOl8TL6k
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan