Isnin, 27 Mac 2017

Pulau Pinang juara Sumbangsih

 ARKIB : 10/02/2003
Oleh AHMAD SYAHIR dan ZULKIFLI JALIL

PULAU PINANG....... 1 SELANGOR....... 0
Geoff Dwyer (min. 12)

PULAU Pinang membuka tirai Liga Perdana Satu dengan bergaya apabila buat pertama kali menjulang Piala Sultan Ahmad Shah dengan menundukkan Selangor 1-0 dalam perlawanan Sumbangsih di Stadium Negeri, Batu Kawan, semalam.

Pemain import dari Australia, Geoff Dwyer melenyapkan impian Selangor untuk mengekalkan kejuaraan dalam saingan Sumbangsih menerusi jaringan minit ke-12.

Di hadapan penyokong sendiri, Pulau Pinang megah menjulang Piala Sultan Ahmad Shah yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Kedua-dua pasukan memulakan aksi babak pertama dengan permainan berhati-hati berikutan hujan lebat sebelum sepak mula.

Walaupun keadaan padang licin skuad tuan rumah cuba mengatur gerak bagi mencari gol awal yang berhasil pada minit ke-12 menerusi Dwyer.

Gol berpunca dari sepakan sudut Ng Kok Heng yang terkena pertahanan Selangor sebelum disepak keluar dari garisan gol oleh S. Sivaram tetapi Dwyer yang berada di depan pintu gol menyepak masuk menewaskan penjaga gol, Azmin Azram Abdul Aziz.

Tersentak dengan gol pertama itu pasukan pelawat menggandakan asakan dan peluang terbaik diperolehi pada minit ke-39 menerusi D. Surendran namun sepakannya hanya melintasi depan gawang pasukan tuan rumah.

Terdahulu pada minit ke-30 Skuad Pulau Mutiara kehilangan ayam tambatan mereka, Gustavo Alberto Romero yang terpaksa diusung keluar selepas mengalami kecederaan di dagu akibat pertembungan dengan ketua pasukan Selangor, Azmin Azram.

Pada babak kedua pula, kedua-dua pasukan mempamer gerakan lebih tersusun dengan berbalas-balas serangan. Skuad Pulau Mutiara yang tidak mahu kempunan untuk memenangi perlawanan Sumbangsih sebaliknya agak kelam kabut sebelum kembali membaiki kelemahan.

Hasilnya, Pulau Pinang mendapat beberapa lagi peluang tetapi percubaan pemainnya dinafikan oleh ketangkasan Azmin Azram.

PULAU PINANG: Kamarulzaman Hassan, Chee Wan Hoe, M. Prakash (Abdul Aziz Ismail), Zailani Jaafar, Geoff Dwyer, Hasmawi Hassan, Chow Chee Weng, Ng Kok Heng (Azni Ariffin), R. Sureshkumar, Wan Rohaimi Wan Ismail dan Gustavo Arberto Romero (S.Gopinanth).

SELANGOR: Azmin Azram Aziz, S. Sivaram, Mohd. Nidzam Jamil, Ivica Kulasevic, S. Yogeswaran, Jayaprakash (Rusdi Suparman), D. Surendran, Sharin Majid, Shukur Adan, Jaafar Salleh (Mohd Fareed Shah) dan Mohd Nizaruddin Yusuf.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cWhka1SR © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan