ARKIB : 09/02/2003
Oleh JOHARI SHAWAL
BOLA sepak Liga Malaysia musim
2003 bermula malam ini dengan aksi tradisi pembuka tirai yang dibintangi dua
juara, Pulau Pinang dan Selangor, bertarung dalam perlawanan Sumbangsih.
Stadium Batu Kawan di Pulau
Pinang menjadi medan sepak mula bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah,
menandakan kempen aksi tempatan kembali lagi, dengan harapan penghujung musim
disudahi dengan cara senyuman tersendiri.
Selangor, juara pertandingan
paling berprestij, Piala Malaysia, turun selaku penyandang Sumbangsih, tetapi
berdepan dengan pemilik Piala FA, Pulau Pinang yang semakin menggerunkan.
Skuad Harimau Kumbang kendalian
jurulatih Irfan Bakti, nampak lebih menyerlah jika melihat kepada aksi pemanas
badan mereka awal tahun ini.
Pasukan yang bakal ditentang
Pulau Mutiara, hari ini, Selangor tumbang kepada mereka dalam kejohanan empat
penjuru di Singapura, bulan lepas.
Selangor nampak kurang bermaya
dalam aksi pemanas badan, selepas penghijrahan sembilan pemain tonggak, B.
Rajinikandh, Azlisham Ibrahim, Azman Adnan, Lim Chan Yew, Mohd. Aiman Wong,
Yusi Che Lah dan Tengku Hazman Raja Hassan.
Tetapi pengurusan Selangor
sudah biasa dengan amalan itu. Mereka tidak panik dengan perkembangan yang
berlaku dalam kem mereka malah tetap yakin skuad Ken Worden bakal garang sebaik
babak pertarungan bermula.
Namun Pulau Pinang semestinya
mahu meniupkan keyakinan kepada penyokong setia mereka di Batu Kawan, sebagai
permulaan kepada buruan gemilang di pentas kebangsaan.
Selangor mesti ditumbangkan di
hadapan penyokong sendiri.
Keyakinan makin tinggi selepas
Irfan mendapat senjata baru dalam pasukannya, Geoff Dwyer.
Pemain berusia 24 tahun dari
Argentina itu bertugas di barisan pertahanan, tanda bersungguh-sungguh mahu
mengekang barisan serangan berbisa Selangor.
Di barisan depan, penjaring gol
kemenangan Harimau Kumbang ketika bertemu Perak pada perlawanan akhir Piala FA
lalu, Gustavo Alberto Romero dari Argentina bersedia merempuh benteng Selangor.
Romero pasti gagah jika
mendapat sokongan penyerang licik, Hasmawi Hassan biarpun pemain itu belum
tentu kedudukannya akibat masih dibelenggu cedera ketika aksi pemanas badan.
Red Giants harus bangkit
menepis terkaman Harimau Kumbang. Inilah masanya tenaga baru membuktikan
harapan yang ditabur tidak sia-sia.
Biarpun tanpa Mass Sarr Jr., serangan
tenaga tempatan masih berbisa, terpulang kepada Rusdi Suparman dan Mohd.
Nizaruddin Yusof untuk mencoraknya.
Ivica Kulesevic pasti diharap
memberi komitmen penuh mengawal barisan pertahanan, membantu Shamsul Amri Abu
Bakar yang kini tanpa Rajinikandh.
Mungkin Shahrin Majid menjadi
pencetus ilham di bahagian tengah Merah Kuning, selepas berhijrah dari Sabah.
Apa pun, apa sahaja keputusan
pertarungan antara dua juara itu, hasilnya lebih kepada menguntum rasa puas
semua pihak, dengan semangat kesukanan paling tinggi ditunjukkan, sesuai dengan
bola sepak negara yang semakin bersifat profesionalisme.
Jangan ada sebarang
pertelingkahan kerana ia mampu menajamkan lagi pandangan luar tentang bola
sepak kita.
Mungkin ini masanya untuk
menutup mulut mereka
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cWgDJ2EV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan