Sabtu, 6 Mei 2017

Perlis, Perak buka tirai 2005

ARKIB : 10/01/2005
PERTEMUAN juara Piala Malaysia musim lalu, Perlis bertemu juara Piala FA, Perak pada perlawanan Piala Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah pada 29 Januari ini akan membuka tirai kempen Liga Malaysia musim 2005.
Perlawanan tersebut juga merupakan perlawanan pembukaan kempen Liga Super buat musim kedua sejak diperkenalkan tahun lalu.
Tiga lagi perlawanan yang diadakan serentak dengan pertemuan Perlis dan Perak ialah pertembungan juara Liga Super tahun lalu, Pahang dengan bekas juara Piala Malaysia 2003, Selangor MPPJ; Public Bank bertemu wakil baru Telekom Melaka dan Pulau Pinang pula menentang Sabah.
Kempen Liga Super yang bermula pada 29 Januari ini dengan perlawanan diadakan setiap hari Sabtu dijadualkan berakhir pada 9 Julai depan.
Undian dalam kancah saingan Liga Perdana jelas menarik perhatian pada majlis undian Liga Malaysia 2005 yang diadakan semalam.
Dua pasukan Liga Super yang terjerumus ke Liga Perdana musim ini iaitu naib juara Piala Malaysia tahun lalu, Kedah diundi mengetuai Kumpulan A manakala Sarawak pula dalam Kumpulan B.
Liga Perdana turut menyaksikan dua pasukan berstatus kelab bertanding buat pertama kali iaitu Perak Jenderata dan Pulau Pinang NTFA.
Dalam undian tersebut, pasukan yang penuh dengan kegemilangan mendakap gelaran Piala Malaysia, Selangor diundi dalam Kumpulan A bersama-sama naib juara Piala Malaysia musim lalu, Kedah.
Atas kertas laluan kedua-dua pasukan dilihat mudah untuk mengungguli kumpulan tersebut berdasarkan kelibat enam lagi saingan yang diundi.
Enam lagi saingan kepada dua gergasi bola sepak yang diletakan dalam kumpulan yang sama ialah Kelantan TNB, Kuala Lumpur, Brunei, Selangor MK Land, Melaka dan wakil baru, Pulau Pinang NTFA.
Berbanding lapan pasukan lain yang diundi dalam Kumpulan B pula dilihat mempunyai keupayaan yang seimbang.
Sarawak yang tersingkir ke Liga Perdana musim ini mengetuai Kumpulan A bersama-sama juara Piala Malaysia 2001, Terengganu, Selangor PKNS, Johor FC, Sarawak, PDRM Negeri Sembilan
Kempen Liga Perdana bermula 6 Februari depan membabitkan perlawanan pusingan pertama, kedua dan ketiga dan dijadualkan berakhir pada 10 Julai.
Perlawanan Liga Perdana akan diadakan pada setiap hari Ahad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan