ARKIB : 17/01/2004
Oleh JOHARI SHAWAL
PEMAIN Negeri Sembilan, Anuar
Jusoh membuat sepakan ke arah pintu gol dengan diperhatikan rakan sepasukan
semasa latihan, semalam. Negeri Sembilan akan menentang MPPJ dalam perlawanan
Sumbangsih di Stadium MPPJ, Kelana Jaya, malam ini.
BOLA Sepak Liga Malaysia membuka
tirai pertandingan musim 2004 dengan perlawanan tradisi merebut Piala Sultan
Ahmad Shah dalam perlawanan Sumbangsih antara juara Piala Malaysia musim lalu,
Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) Selangor dengan juara Piala FA, Negeri
Sembilan, malam ini.
Pertarungan di Stadium Petaling
Jaya, Kelana Jaya itu bakal mencetuskan satu lagi sejarah baru bola sepak
negara apabila pasukan kelab, MPPJ dijangka menambah satu lagi koleksi piala
pertandingan tempatan sesudah gemilang dengan trofi Piala Malaysia.
Begitupun, Negeri Sembilan turut
mahu merangkul piala yang belum ada dalam kabinet mereka, sesudah cemerlang
degan Piala FA musim lalu, selain berusaha menafikan kebangkitan kelab.
MPPJ yang dibimbing bekas pemain
kebangsaan, Dollah Salleh harus menjadi pilihan di atas kertas tetapi
berdasarkan persiapan dua pasukan itu, pilihan di atas padang adalah Negeri
Sembilan.
``Pasukan pilihan adalah MPPJ,
lagi pun mereka bermain di tempat sendiri. Kami hadir sebagai underdog tetapi
kami menaruh keyakinan tinggi mampu mencatat kemenangan malam esok,'' kata
jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan.
Negeri Sembilan mencatat
peningkatan membanggakan dalam persiapan mereka mengharungi Liga Malaysia musim
ini termasuk persediaan untuk perlawanan Sumbangsih.
Mereka muncul juara kejohanan
empat pasukan di Kedah selepas menjadi naib juara dalam satu lagi kejohanan
empat pasukan di Langkawi, awal bulan ini.
Selepas itu, mereka mengejutkan
Terengganu dengan kemenangan 4-0, menewaskan Kuala Lumpur 4-1 dan mengatasi MK
Land 5-2 dalam aksi persahabatan.
``Jika melihat kepada
keputusan-keputusan itu, kami boleh menang dengan MPPJ tetapi kami harus
bermain dengan tumpuan 100 peratus,'' katanya.
Menurut Devan, kemenangan besar
ke atas pasukan-pasukan itu adalah atas kerja keras semua pemain selain
suntikan semangat daripada tiga bintang import mereka dari Negeria iaitu dua
penyerang, Duke Effiong dan Abdul Razak Mohammed Ekpoki serta penjaga gol,
Cajetan Ndubuisi Oparaugo.
``Kami berharap tiga pemain itu
selain pemain tempatan termasuk Khairul Anuar Baharom, B. Rajnikandh, Ching Hok
Aik, Shahrin Majid dan Effendi Malek bermain baik malam esok,'' kata Devan.
Tiga pemain import dari Nigeria
yang akan memperkuatkan cabaran pasukan dalam menghadapi saingan Liga Perdana
musim ini ialah penjaga gol, Cajetan Ndubuisi Oparaugo, 26, dan dua penyerang -
Duke Effiong, 27 dan Abdul Razak Mohammed Ekpoki, 26.
Negeri Sembilan mendapat khidmat
pemain dari Sabah, Shahrin dan Hong Aik yang kembali ke skuad Rusa selepas
bermain dengan Sarawak musim lalu.
Antara pemain lain dalam skuad
Negeri Sembilan termasuk Anuar Jusoh, Suharmin Yusof, Mohd. Saiful Sabtu, Mohd.
Suffian Abdul Rahman, Shahrizam Mohamad, Azrine Effendy Saduddin, Norhainizam
Shahabudin, K. Rajan dan Norhafiz Zamani Misbah.
Devan menambah, kesempatan di
atas kepincangan MPPJ yang kini tanpa bintang penyerang mereka dari Argentina,
Juan Manuel Arostegui akan digunakan sebaik-baiknya.
``Barisan pertahanan kita
bagaimanapun tidak akan mengambil mudah kerana mereka masih ada Bruno
(Martelotto) dan (penyerang kebangsaan) Mohd. Nizaruddin Yusof,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dklfsLmT
© Utusan Melayu (M) B
Tiada ulasan:
Catat Ulasan