ARKIB : 30/01/2005
PENYERANG Perlis, Zacharia
Simukonda (kanan) dibentes keras pemain pertahanan Perak, Shamsul Saad dalam
perlawanan Sumbangsih di Stadium Utama, Kangar, semalam. - Gambar NIDZUWAN
ZAINAL ABIDIN.
KANGAR - Perak muncul juara
Piala Sultan Ahmad Shah 2005 setelah menewaskan juara Piala Malaysia musim
lalu, Perlis menerusi sepakan penalti 4-2 dalam perlawanan Sumbangsih yang
penuh mendebarkan di Stadium Utama di sini, semalam.
Perlawanan terpaksa dilanjutkan
ke masa tambahan 30 minit setelah tamat masa sebenar apabila kedua-dua pasukan
terikat 2-2.
Begitupun nasib lebih memihak
kepada Perak untuk muncul juara setelah penentuan menerusi sepakan penalti
dilakukan.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku
Syed Faizuddin Syed Sirajuddin Jamalullil telah menyampaikan Piala Sultan Ahmad
Shah kepada ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar.
Kedua-dua pasukan bagaimanapun
berkongsi satu mata dalam kedudukan Liga Super.
Perlis terlebih dulu memperoleh
gol pertama pada minit ke-24 apabila pemain dari Zambia, Zacharia Simukonda
merembat dari dalam kotak penalti untuk menewaskan Hamsani Ahmad tetapi pada
minit ke-31 penyerang Perak dari Guyana, Keita Mandjou menyamakan kedudukan
dengan melepaskan rembatan kencang setelah menerima umpanan K. Yoganathan.
Babak kedua menyaksikan gerakan
Mohd. Ivan Yusoff memikat 15,000 penyokong Perlis apabila berjaya melepasi
perangkap ofsaid dan mengumpan cantik buat Simukonda menjaringkan gol kedua
pada minit ke-53.
Perlis nyaris menambah gol
apabila sepakan percuma yang diambil oleh Mohd. Feriza Ismail terkena palang
gol pada minit ke-67.
Tetapi kedudukan kembali
seimbang apabila pengadil, Danny Ong Kin Heng dari Selangor menghadiahkan
sepakan penalti kepada Perak pada minit ke-84 apabila bola terkena tangan
Durahim Jamaluddin dan Mandjou membuat sepakan sempurna untuk memaksa
perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan sebelum penentuan menerusi sepakan
penalti terpaksa dilakukan.
Di Stadium Darul Makmur,
Kuantan, juara Liga Super, Pahang bermula baik untuk kempen baru ini dengan
menewaskan MPPJ 3-2.
Penyerang kebangsaan, Mohd.
Fadzli Saari menjaringkan dua gol Pahang pada minit ke-28 dan 78 manakala satu
gol lagi dijaringkan oleh Indra Putra Mahayuddin (10).
Gol MPPJ dihasilkan oleh Bruno
Sebastian Martelotto (19) dan Mohd. Zaidi Zaing (45).
Di Stadium Shah Alam, Telekom
Melaka turut mengutip tiga mata berharga selepas menewaskan Public Bank 2-1.
Sekali pun terpaksa beraksi
dengan sepuluh pemain selepas pemain importnya, Njoh Njoh diperintah keluar
padang apabila mengutip kad kuning kedua pada minit ke-67, Telekom masih mampu
menyekat Public Bank daripada memperoleh kemenangan.
Telekom membuka tirai jaringan
pertama menerusi sepakan kencang Mohd. Badrul Afzam seawal minit kelapan dari
jarak 30 meter menewaskan penjaga gol Public Bank, V. Murugan.
Pelawat kemudiannya menambah
gol kedua menerusi Affandy Lokman pada minit ke-14 apabila dia mudah menolak
masuk bola ketika keadaan kelam kabut di depan pintu gol tuan rumah.
Begitupun Public Bank kembali
mengatur gerakan dengan lebih tersusun dan berjaya merapatkan jurang apabila
penyerangnya, Mohd. Farid Shah menolak masuk gol pertama pasukannya pada minit
ke-23.
Di Stadium Bandaraya, Pulau
Pinang membuka saingan dengan menewaskan Sabah, 3-0.
Gol pertama pasukan tuan rumah
dihasilkan oleh Ito Dan yang merupakan pemain pertama dari Jepun beraksi dalam
Liga Malaysia dan menambah gol kedua pada minit ke-24 menerusi Viatcheslav
Melnikov. Gol ketiga hadir pada minit akhir menerusi bekas penyerang Perlis,
Mohd. Faizal Esahar.
Jaringan pembukaan dihasilkan
seawal minit ke-6 menerusi penyerang berusia 30 tahun itu yang bijak menyambar
bola hantaran lintang dari Ng Kok Heng.
Skuad Harimau Kumbang menambah
jaringan pada minit ke-24 menerusi Melnikov yang menerima hantaran daripada
Jose Marcio Barreto.
Perlawanan yang seakan tamat
dengan dua jaringan berubah pada minit akhir permainan menerusi jaringan
penutup Mohd Faizal.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4gOEckYTu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan