Ahad, 9 April 2017

MPPJ juara



ARKIB : 18/01/2004
Oleh JOHARI SHAWAL
 PENYERANG MPPJ Selangor, Mohd. Nizaruddin Yusof (kiri) bersaing bola dengan pemain Negeri Sembilan, P. Sivanathan semasa perlawanan sumbangsih di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya semalam. MPPJ menang 4-2. - Gambar ASWAD YAHYA.

MPPJ SELANGOR mengekalkan status selaku kelab tersohor dalam kancah bola sepak tempatan apabila menjulang Piala Sultan Ahmad Shah selepas menundukkan Negeri Sembilan 4-2 dalam perlawanan sumbangsih di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya semalam.

Biarpun tanpa Juan Manuel Arostegui, barisan serangan skuad juara Piala Malaysia kendali jurulatih Dollah Salleh tetap menyengat dengan empat gol menerusi jaringan penyerang, Mohd. Nizaruddin Yusof; pemain pertahanan, Faizal Zainal; pemain import Bruno Sebastian Martelotto dan Aiman Firdaus Tan Abdullah.

Juara Piala FA, Negeri Sembilan bermain baik tetapi barisan serangan agak tumpul walaupun berjaya mengikat kedudukan babak pertama 2-2 menerusi jaringan K. Rajan dan Abdul Razak Mohamed Ekpoki pada penghujung babak kedua.

Berbekalkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri, MPPJ nyata tidak membuang masa untuk menceriakan kem pasukan, di hadapan kira-kira 20,000 penonton.

Sepakan sudut yang diperoleh pada minit kesembilan tidak dipersia-siakan. Pemain Selangor musim lepas, Nizaruddin melonjak awal untuk menanduk masuk gol pembukaan hasil sepakan sudut Azrin Shah Zainal menewaskan penjaga Negeri Sembilan, Cajetan Oparaugo.

Skuad Rusa yang terpaku dengan jaringan itu hampir menyamakan kedudukan seminit kemudian tetapi tandukan Abdul Razak melepasi palang gol.

Gol kedua MPPJ diperoleh dengan gaya serupa, kali ini menerusi tandukan Faizal yang terus menerjah jaring juga hasil sepakan sudut Azrin.

Ketika MPPJ kelihatan akan ke bilik persalinan dengan rasa selesa mendahului dua gol, Negeri Sembilan mengejutkan barisan pertahanan MPPJ dengan dua jaringan pantas ketika babak pertama berbaki dua minit.

Rajan membawa bola secara solo dari sebelah kanan dan apabila memasuki kotak penalti MPPJ, pemain kebangsaan itu melepaskan rembatan kencang yang menerjah jaring menewaskan penjaga gol MPPJ, Jamsari Sabian.

Gol itu hadir beberapa minit selepas ketua pasukan MPPJ, Khairil Zainal diusung keluar akibat kecederaan.

Ketiadaan Khairil dipergunakan sebaiknya oleh barisan penyerang Negeri Sembilan untuk memburu jaringan penyamaan yang diperoleh hanya seminit kemudian.

Rajanikandh mengambil sepakan percuma yang terus menuju kepada Jamsari tetapi penjaga gol itu gagal menangkap kemas bola yang memudahkan Abdul Razak menolak masuk gol kedua negeri sembilan untuk mengikat kedudukan 2-2.

Mungkin suntikan semangat Dollah lebih bertenaga daripada K. Devan semasa waktu rehat, MPPJ kembali mengganas pada babak kedua.

Bintang import dari Argentina, Martelotto bijak mencuri ruang untuk menyambar bola di depan gawang bagi gol ketiga MPPJ pada minit ke-49 selepas sepakan percuma Faizal ke dalam kotak penalti Negeri Sembilan gagal ditangkap kemas Oparaugo.

MPPJ terus melebarkan kedudukan dengan gol keempat pada minit ke-72. Gerakan satu dua Nizaruddin dengan Aiman menyaksikan Aiman mudah menolak masuk untuk mencipta malam gemilang buat MPPJ dengan kemenangan manis 4-2

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dkoBkIm9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan