ARKIB : 01/04/2001
Oleh: MOHD. LAZIM ENDUT
TERENGGANU merangkul Piala
Sumbangsih selepas menang bergaya 4-0 ke atas Perak pada perlawanan di Stadium
Sultan Ismail Nasiruddin, Kuala Terengganu, semalam.
Kejayaan itu sekaligus memberikan
tiga mata penuh buat skuad Penyu pada kempen pembukaan Liga Perdana Satu.
Ia juga melebarkan rekod
kemenangan Terengganu di gelanggang sendiri ke atas Perak dengan 21 kemenangan
dan satu kalah.
Empat gol Terengganu dijaringkan
oleh Mohd. Marzuki Yusuf pada minit ke-31, Faziallah Mamat (47), Rosdi Talib
(63) dan Sapian Wahid (80).
Turut menyaksikan pertemuan
antara juara Piala FA dengan juara Piala Malaysia itu Timbalan Presiden FAM,
Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Sultan Terengganu.
Sebaik wisel permulaan
dibunyikan, Terengganu terus mengasak ke pintu gol lawan tetapi melepaskan
beberapa peluang terbaik.
Bagaimanapun, Perak yang diketuai
oleh kapten kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian sesekali berjaya meloloskan
diri yang seringkali mencemaskan pasukan Terengganu.
Perak mendapat peluang membuka
jaringan pada minit keenam tetapi pemainnya, M. Murugan berlaga dengan Zubir
Ibrahim yang menyebabkan penjaga gol itu terpaksa diusung keluar.
Ini memaksa jurulatih Terengganu,
Mat Zan Mat Aris memasukkan penjaga gol gantian yang baru pulang dari tugasan
negara di Qatar, Syamsuri Mustaffa.
Selang beberapa minit selepas
itu, corak permainan Terengganu semakin agresif dan pada minit ke-18, Faziallah
membuat percubaan leret yang hanya sedikit tersasar ke penjuru kanan pintu gol
Perak.
Sehinggalah pada minit ke-31,
Marzuki menjaringkan gol pertama Terengganu ketika pergelutan berlaku di pintu
gol Perak hasil sepakan percuma Shahrunizam Sahat.
Selepas gol pertama, pemain
Terengganu semakin bertenaga di mana gandingan pemain tengahnya Rosdi, Marzuki
dan Hairuddin Omar sering kali mengucar-ngacirkan benteng lawan.
Safian yang terlepas daripada
peranngkap ofsaid, berjaya meloloskan diri dari kawalan, namun rembatan yang
dilakukan pada minit ke-35 sedikit tersasar walaupun penjaga gol Perak, Tay Sin
Kiat sudah tertewas.
Manakala pada minit ke-43 pula
pemain kebangsaan, Rosdi yang menerima hantaran daripada Wan Rohaimi Ismail
agak terlewat untuk menjaringkan gol, yang akhirnya terus ke dakapan Sin Kiat.
Pada babak kedua perlawanan,
Terengganu terus mengasak dan pada minit ke-47, Faziallah menjaringkan gol
kedua tuan rumah hasil hantaran Safian.
Pada minit ke-63, giliran Rosdi
pula menjaringkan gol ketiga Terengganu menerusi sepakan penalti setelah
Hairuddin dijatuhkan oleh Murugan.
Pada minit ke-80, tuan rumah
berjaya menambah gol keempat apabila Sapian Wahid dengan mudah menanduk masuk
bola hantaran silang yang dilakukan Roshadi Wahab
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bZG2kcO4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan