Ahad, 7 Mei 2017

Aksi Sumbangsih julang Perak



 
ARKIB : 30/01/2005
PENYERANG Perlis, Zacharia Simukonda (kanan) dibentes keras pemain pertahanan Perak, Shamsul Saad dalam perlawanan Sumbangsih di Stadium Utama, Kangar, semalam. - Gambar NIDZUWAN ZAINAL ABIDIN.

KANGAR - Perak muncul juara Piala Sultan Ahmad Shah 2005 setelah menewaskan juara Piala Malaysia musim lalu, Perlis menerusi sepakan penalti 4-2 dalam perlawanan Sumbangsih yang penuh mendebarkan di Stadium Utama di sini, semalam.

Perlawanan terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan 30 minit setelah tamat masa sebenar apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Begitupun nasib lebih memihak kepada Perak untuk muncul juara setelah penentuan menerusi sepakan penalti dilakukan.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Syed Sirajuddin Jamalullil telah menyampaikan Piala Sultan Ahmad Shah kepada ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar.

Kedua-dua pasukan bagaimanapun berkongsi satu mata dalam kedudukan Liga Super.

Perlis terlebih dulu memperoleh gol pertama pada minit ke-24 apabila pemain dari Zambia, Zacharia Simukonda merembat dari dalam kotak penalti untuk menewaskan Hamsani Ahmad tetapi pada minit ke-31 penyerang Perak dari Guyana, Keita Mandjou menyamakan kedudukan dengan melepaskan rembatan kencang setelah menerima umpanan K. Yoganathan.

Babak kedua menyaksikan gerakan Mohd. Ivan Yusoff memikat 15,000 penyokong Perlis apabila berjaya melepasi perangkap ofsaid dan mengumpan cantik buat Simukonda menjaringkan gol kedua pada minit ke-53.

Perlis nyaris menambah gol apabila sepakan percuma yang diambil oleh Mohd. Feriza Ismail terkena palang gol pada minit ke-67.

Tetapi kedudukan kembali seimbang apabila pengadil, Danny Ong Kin Heng dari Selangor menghadiahkan sepakan penalti kepada Perak pada minit ke-84 apabila bola terkena tangan Durahim Jamaluddin dan Mandjou membuat sepakan sempurna untuk memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan sebelum penentuan menerusi sepakan penalti terpaksa dilakukan.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, juara Liga Super, Pahang bermula baik untuk kempen baru ini dengan menewaskan MPPJ 3-2.

Penyerang kebangsaan, Mohd. Fadzli Saari menjaringkan dua gol Pahang pada minit ke-28 dan 78 manakala satu gol lagi dijaringkan oleh Indra Putra Mahayuddin (10).

Gol MPPJ dihasilkan oleh Bruno Sebastian Martelotto (19) dan Mohd. Zaidi Zaing (45).

Di Stadium Shah Alam, Telekom Melaka turut mengutip tiga mata berharga selepas menewaskan Public Bank 2-1.

Sekali pun terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain selepas pemain importnya, Njoh Njoh diperintah keluar padang apabila mengutip kad kuning kedua pada minit ke-67, Telekom masih mampu menyekat Public Bank daripada memperoleh kemenangan.

Telekom membuka tirai jaringan pertama menerusi sepakan kencang Mohd. Badrul Afzam seawal minit kelapan dari jarak 30 meter menewaskan penjaga gol Public Bank, V. Murugan.

Pelawat kemudiannya menambah gol kedua menerusi Affandy Lokman pada minit ke-14 apabila dia mudah menolak masuk bola ketika keadaan kelam kabut di depan pintu gol tuan rumah.

Begitupun Public Bank kembali mengatur gerakan dengan lebih tersusun dan berjaya merapatkan jurang apabila penyerangnya, Mohd. Farid Shah menolak masuk gol pertama pasukannya pada minit ke-23.

Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang membuka saingan dengan menewaskan Sabah, 3-0.

Gol pertama pasukan tuan rumah dihasilkan oleh Ito Dan yang merupakan pemain pertama dari Jepun beraksi dalam Liga Malaysia dan menambah gol kedua pada minit ke-24 menerusi Viatcheslav Melnikov. Gol ketiga hadir pada minit akhir menerusi bekas penyerang Perlis, Mohd. Faizal Esahar.

Jaringan pembukaan dihasilkan seawal minit ke-6 menerusi penyerang berusia 30 tahun itu yang bijak menyambar bola hantaran lintang dari Ng Kok Heng.

Skuad Harimau Kumbang menambah jaringan pada minit ke-24 menerusi Melnikov yang menerima hantaran daripada Jose Marcio Barreto.

Perlawanan yang seakan tamat dengan dua jaringan berubah pada minit akhir permainan menerusi jaringan penutup Mohd Faizal.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4gOEckYTu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 6 Mei 2017

Perlis, Perak buka tirai 2005

ARKIB : 10/01/2005
PERTEMUAN juara Piala Malaysia musim lalu, Perlis bertemu juara Piala FA, Perak pada perlawanan Piala Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah pada 29 Januari ini akan membuka tirai kempen Liga Malaysia musim 2005.
Perlawanan tersebut juga merupakan perlawanan pembukaan kempen Liga Super buat musim kedua sejak diperkenalkan tahun lalu.
Tiga lagi perlawanan yang diadakan serentak dengan pertemuan Perlis dan Perak ialah pertembungan juara Liga Super tahun lalu, Pahang dengan bekas juara Piala Malaysia 2003, Selangor MPPJ; Public Bank bertemu wakil baru Telekom Melaka dan Pulau Pinang pula menentang Sabah.
Kempen Liga Super yang bermula pada 29 Januari ini dengan perlawanan diadakan setiap hari Sabtu dijadualkan berakhir pada 9 Julai depan.
Undian dalam kancah saingan Liga Perdana jelas menarik perhatian pada majlis undian Liga Malaysia 2005 yang diadakan semalam.
Dua pasukan Liga Super yang terjerumus ke Liga Perdana musim ini iaitu naib juara Piala Malaysia tahun lalu, Kedah diundi mengetuai Kumpulan A manakala Sarawak pula dalam Kumpulan B.
Liga Perdana turut menyaksikan dua pasukan berstatus kelab bertanding buat pertama kali iaitu Perak Jenderata dan Pulau Pinang NTFA.
Dalam undian tersebut, pasukan yang penuh dengan kegemilangan mendakap gelaran Piala Malaysia, Selangor diundi dalam Kumpulan A bersama-sama naib juara Piala Malaysia musim lalu, Kedah.
Atas kertas laluan kedua-dua pasukan dilihat mudah untuk mengungguli kumpulan tersebut berdasarkan kelibat enam lagi saingan yang diundi.
Enam lagi saingan kepada dua gergasi bola sepak yang diletakan dalam kumpulan yang sama ialah Kelantan TNB, Kuala Lumpur, Brunei, Selangor MK Land, Melaka dan wakil baru, Pulau Pinang NTFA.
Berbanding lapan pasukan lain yang diundi dalam Kumpulan B pula dilihat mempunyai keupayaan yang seimbang.
Sarawak yang tersingkir ke Liga Perdana musim ini mengetuai Kumpulan A bersama-sama juara Piala Malaysia 2001, Terengganu, Selangor PKNS, Johor FC, Sarawak, PDRM Negeri Sembilan
Kempen Liga Perdana bermula 6 Februari depan membabitkan perlawanan pusingan pertama, kedua dan ketiga dan dijadualkan berakhir pada 10 Julai.
Perlawanan Liga Perdana akan diadakan pada setiap hari Ahad.