Khamis, 14 Disember 2017

Petua Zakaria dorong gol Zameer

ARKIB : 05/01/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Bukan senang untuk berdepan hampir 40,000 penyokong fanatik bola sepak Kedah untuk merebut Piala Sultan Ahmad Shah apatah lagi dengan pengalaman yang cetek tetapi Zameer Zainun berjaya membuktikan sebaliknya berkat nasihat pengurus pasukan Selangor.

Zakaria Ab. Rahim ialah gerangan yang berpesan kepada pemain skuad Piala Presiden berusia 19 tahun itu supaya menghilangkan kegugupannya di Stadium Darul Aman, Alor Star itu dengan melakukan rembatan ke gawang Kedah sehingga menghasilkan gol kedua Gergasi Merah.

"Dia mengakui gugup ketika saya tanya sebelum perlawanan. Jadi saya berikan 'petua mudah' mengatasinya - buat sahaja percubaan ke antara dua tiang gol lawan sampai menjadi, nanti hilanglah perasaan itu. Ternyata dia berjaya dengan gol kedua kami," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Rembatan jauh kaki kiri Zameer antara yang mencuri perhatian dalam pembuka tirai Liga Super kelmarin apabila memerangkap penjaga gol Kedah dan skuad negara, Helmi Eliza Elias yang tertumbuk ke gawang sendiri pada minit ke-32 sehingga dia digantikan oleh Mohd. Al Hafiz Hamzah.

Malah dengan dua jaringan ketua pasukan, Amri Yahyah selain satu lagi oleh Safee Sali, barisan bimbingan K. Devan kini menerajui Liga Super sambil membalas dendam empat kekalahan kepada Kenari sepanjang Liga Malaysia musim lalu - 6-2, 1-0 (Liga Super) dan 3-2 (dua perlawanan akhir Piala FA dan Malaysia).

Zakaria turut menggalakkan Zameer memanfaatkan segala kesempatan yang terhidang kerana tiada siapa pun sama ada penonton atau lawan yang akan mempedulikan atau meletakkan harapan tinggi kepadanya jika dibandingkan dengan Safee, Amri, R. Surendren atau Amirulhadi Zainal.

Namun baginya, gelaran sulung musim 2009, Piala Sultan Ahmad Shah dan tiga mata Liga Super selain pembalasan dendam terhadap Kedah di tempat lawan kelmarin, tidak sesekali melayakkan Selangor untuk terus megah lantas memandang rendah kemampuan pencabar lain.

Menurutnya, masa untuk pemain berpesta dengan kejayaan gemilang itu wajar diakhiri segera kerana persaingan Liga Malaysia masih panjang dan bakal bersambung semula di Stadium Shah Alam dengan melayani kunjungan Perak dalam perlawanan kedua, esok.

"Pasukan telah diingat jangan berseronok sangat dan jangan sombong. Kami tetap memandang semua lawan setanding khususnya Perak," katanya yang meraih trofi sulung bersama Gergasi Merah sejak menyandang jawatan pengurus pasukan sepenuh masa itu, Jun lalu



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz51Hajkoa0

© Utusan Melayu (M) Bhd