Isnin, 27 Mac 2017

Pulau Pinang juara Sumbangsih

 ARKIB : 10/02/2003
Oleh AHMAD SYAHIR dan ZULKIFLI JALIL

PULAU PINANG....... 1 SELANGOR....... 0
Geoff Dwyer (min. 12)

PULAU Pinang membuka tirai Liga Perdana Satu dengan bergaya apabila buat pertama kali menjulang Piala Sultan Ahmad Shah dengan menundukkan Selangor 1-0 dalam perlawanan Sumbangsih di Stadium Negeri, Batu Kawan, semalam.

Pemain import dari Australia, Geoff Dwyer melenyapkan impian Selangor untuk mengekalkan kejuaraan dalam saingan Sumbangsih menerusi jaringan minit ke-12.

Di hadapan penyokong sendiri, Pulau Pinang megah menjulang Piala Sultan Ahmad Shah yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Kedua-dua pasukan memulakan aksi babak pertama dengan permainan berhati-hati berikutan hujan lebat sebelum sepak mula.

Walaupun keadaan padang licin skuad tuan rumah cuba mengatur gerak bagi mencari gol awal yang berhasil pada minit ke-12 menerusi Dwyer.

Gol berpunca dari sepakan sudut Ng Kok Heng yang terkena pertahanan Selangor sebelum disepak keluar dari garisan gol oleh S. Sivaram tetapi Dwyer yang berada di depan pintu gol menyepak masuk menewaskan penjaga gol, Azmin Azram Abdul Aziz.

Tersentak dengan gol pertama itu pasukan pelawat menggandakan asakan dan peluang terbaik diperolehi pada minit ke-39 menerusi D. Surendran namun sepakannya hanya melintasi depan gawang pasukan tuan rumah.

Terdahulu pada minit ke-30 Skuad Pulau Mutiara kehilangan ayam tambatan mereka, Gustavo Alberto Romero yang terpaksa diusung keluar selepas mengalami kecederaan di dagu akibat pertembungan dengan ketua pasukan Selangor, Azmin Azram.

Pada babak kedua pula, kedua-dua pasukan mempamer gerakan lebih tersusun dengan berbalas-balas serangan. Skuad Pulau Mutiara yang tidak mahu kempunan untuk memenangi perlawanan Sumbangsih sebaliknya agak kelam kabut sebelum kembali membaiki kelemahan.

Hasilnya, Pulau Pinang mendapat beberapa lagi peluang tetapi percubaan pemainnya dinafikan oleh ketangkasan Azmin Azram.

PULAU PINANG: Kamarulzaman Hassan, Chee Wan Hoe, M. Prakash (Abdul Aziz Ismail), Zailani Jaafar, Geoff Dwyer, Hasmawi Hassan, Chow Chee Weng, Ng Kok Heng (Azni Ariffin), R. Sureshkumar, Wan Rohaimi Wan Ismail dan Gustavo Arberto Romero (S.Gopinanth).

SELANGOR: Azmin Azram Aziz, S. Sivaram, Mohd. Nidzam Jamil, Ivica Kulasevic, S. Yogeswaran, Jayaprakash (Rusdi Suparman), D. Surendran, Sharin Majid, Shukur Adan, Jaafar Salleh (Mohd Fareed Shah) dan Mohd Nizaruddin Yusuf.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cWhka1SR © Utusan Melayu (M) Bhd

Pertemuan Sumbangsih - Milik PP atau Selangor?

ARKIB : 09/02/2003
Oleh JOHARI SHAWAL
BOLA sepak Liga Malaysia musim 2003 bermula malam ini dengan aksi tradisi pembuka tirai yang dibintangi dua juara, Pulau Pinang dan Selangor, bertarung dalam perlawanan Sumbangsih.

Stadium Batu Kawan di Pulau Pinang menjadi medan sepak mula bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah, menandakan kempen aksi tempatan kembali lagi, dengan harapan penghujung musim disudahi dengan cara senyuman tersendiri.

Selangor, juara pertandingan paling berprestij, Piala Malaysia, turun selaku penyandang Sumbangsih, tetapi berdepan dengan pemilik Piala FA, Pulau Pinang yang semakin menggerunkan.

Skuad Harimau Kumbang kendalian jurulatih Irfan Bakti, nampak lebih menyerlah jika melihat kepada aksi pemanas badan mereka awal tahun ini.

Pasukan yang bakal ditentang Pulau Mutiara, hari ini, Selangor tumbang kepada mereka dalam kejohanan empat penjuru di Singapura, bulan lepas.

Selangor nampak kurang bermaya dalam aksi pemanas badan, selepas penghijrahan sembilan pemain tonggak, B. Rajinikandh, Azlisham Ibrahim, Azman Adnan, Lim Chan Yew, Mohd. Aiman Wong, Yusi Che Lah dan Tengku Hazman Raja Hassan.

Tetapi pengurusan Selangor sudah biasa dengan amalan itu. Mereka tidak panik dengan perkembangan yang berlaku dalam kem mereka malah tetap yakin skuad Ken Worden bakal garang sebaik babak pertarungan bermula.

Namun Pulau Pinang semestinya mahu meniupkan keyakinan kepada penyokong setia mereka di Batu Kawan, sebagai permulaan kepada buruan gemilang di pentas kebangsaan.

Selangor mesti ditumbangkan di hadapan penyokong sendiri.

Keyakinan makin tinggi selepas Irfan mendapat senjata baru dalam pasukannya, Geoff Dwyer.

Pemain berusia 24 tahun dari Argentina itu bertugas di barisan pertahanan, tanda bersungguh-sungguh mahu mengekang barisan serangan berbisa Selangor.

Di barisan depan, penjaring gol kemenangan Harimau Kumbang ketika bertemu Perak pada perlawanan akhir Piala FA lalu, Gustavo Alberto Romero dari Argentina bersedia merempuh benteng Selangor.

Romero pasti gagah jika mendapat sokongan penyerang licik, Hasmawi Hassan biarpun pemain itu belum tentu kedudukannya akibat masih dibelenggu cedera ketika aksi pemanas badan.

Red Giants harus bangkit menepis terkaman Harimau Kumbang. Inilah masanya tenaga baru membuktikan harapan yang ditabur tidak sia-sia.

Biarpun tanpa Mass Sarr Jr., serangan tenaga tempatan masih berbisa, terpulang kepada Rusdi Suparman dan Mohd. Nizaruddin Yusof untuk mencoraknya.

Ivica Kulesevic pasti diharap memberi komitmen penuh mengawal barisan pertahanan, membantu Shamsul Amri Abu Bakar yang kini tanpa Rajinikandh.

Mungkin Shahrin Majid menjadi pencetus ilham di bahagian tengah Merah Kuning, selepas berhijrah dari Sabah.

Apa pun, apa sahaja keputusan pertarungan antara dua juara itu, hasilnya lebih kepada menguntum rasa puas semua pihak, dengan semangat kesukanan paling tinggi ditunjukkan, sesuai dengan bola sepak negara yang semakin bersifat profesionalisme.

Jangan ada sebarang pertelingkahan kerana ia mampu menajamkan lagi pandangan luar tentang bola sepak kita.

Mungkin ini masanya untuk menutup mulut mereka
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cWgDJ2EV

© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 17 Mac 2017

Piala Sumbangsih - Terengganu muncul juara



ARKIB : 01/04/2001
Oleh: MOHD. LAZIM ENDUT
TERENGGANU merangkul Piala Sumbangsih selepas menang bergaya 4-0 ke atas Perak pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Kuala Terengganu, semalam.

Kejayaan itu sekaligus memberikan tiga mata penuh buat skuad Penyu pada kempen pembukaan Liga Perdana Satu.

Ia juga melebarkan rekod kemenangan Terengganu di gelanggang sendiri ke atas Perak dengan 21 kemenangan dan satu kalah.

Empat gol Terengganu dijaringkan oleh Mohd. Marzuki Yusuf pada minit ke-31, Faziallah Mamat (47), Rosdi Talib (63) dan Sapian Wahid (80).

Turut menyaksikan pertemuan antara juara Piala FA dengan juara Piala Malaysia itu Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Sultan Terengganu.

Sebaik wisel permulaan dibunyikan, Terengganu terus mengasak ke pintu gol lawan tetapi melepaskan beberapa peluang terbaik.

Bagaimanapun, Perak yang diketuai oleh kapten kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian sesekali berjaya meloloskan diri yang seringkali mencemaskan pasukan Terengganu.

Perak mendapat peluang membuka jaringan pada minit keenam tetapi pemainnya, M. Murugan berlaga dengan Zubir Ibrahim yang menyebabkan penjaga gol itu terpaksa diusung keluar.

Ini memaksa jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris memasukkan penjaga gol gantian yang baru pulang dari tugasan negara di Qatar, Syamsuri Mustaffa.

Selang beberapa minit selepas itu, corak permainan Terengganu semakin agresif dan pada minit ke-18, Faziallah membuat percubaan leret yang hanya sedikit tersasar ke penjuru kanan pintu gol Perak.

Sehinggalah pada minit ke-31, Marzuki menjaringkan gol pertama Terengganu ketika pergelutan berlaku di pintu gol Perak hasil sepakan percuma Shahrunizam Sahat.

Selepas gol pertama, pemain Terengganu semakin bertenaga di mana gandingan pemain tengahnya Rosdi, Marzuki dan Hairuddin Omar sering kali mengucar-ngacirkan benteng lawan.

Safian yang terlepas daripada peranngkap ofsaid, berjaya meloloskan diri dari kawalan, namun rembatan yang dilakukan pada minit ke-35 sedikit tersasar walaupun penjaga gol Perak, Tay Sin Kiat sudah tertewas.

Manakala pada minit ke-43 pula pemain kebangsaan, Rosdi yang menerima hantaran daripada Wan Rohaimi Ismail agak terlewat untuk menjaringkan gol, yang akhirnya terus ke dakapan Sin Kiat.

Pada babak kedua perlawanan, Terengganu terus mengasak dan pada minit ke-47, Faziallah menjaringkan gol kedua tuan rumah hasil hantaran Safian.

Pada minit ke-63, giliran Rosdi pula menjaringkan gol ketiga Terengganu menerusi sepakan penalti setelah Hairuddin dijatuhkan oleh Murugan.

Pada minit ke-80, tuan rumah berjaya menambah gol keempat apabila Sapian Wahid dengan mudah menanduk masuk bola hantaran silang yang dilakukan Roshadi Wahab

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bZG2kcO4
© Utusan Melayu (M) Bhd